Monday, November 3, 2014

DUNIA BAGAI BANGKAI YANG BUSUK!



Alangkah indah,

alangkah manis kehidupan ini 

andai kita sekalian hamba ini sentiasa membahagiakan orang lain, 

dan begitulah sebaliknya. 

Apapun, kehidupan yang kita sekalian hamba sedang lalui ini merupakan kehidupan fana, kehidupan sementara. Sedangkan kehidupan manis itu adalah kehidupan abadi yang masih jauh untuk kita sekalian hamba ini kecapinya.


IKTIBAR DI SEBALIK KEHIDUPAN FANA INI

Allah SWT. telah mewahyukan kepada Daud a.s. dengan firmanNya:

"Wahai Daud, perumpamaan dunia iaitu laksana bangkai di mana anjing-anjing berkumpul mengelilinginya, menyeretnya ke sana ke mari. Apakah engkau suka menjadi seekor anjing, lalu ikut bersama mereka menyeret bangkai itu ke sana ke mari?" Wahai Daud! Berlemah-lembutlah dalam perbicaraan dan sederhanalah dalam berpakaian. Kemasyuran namamu di khalayak ramai tidak akan serupa selama-lamanya (dengan apa-apa yang diperolehi) di akhirat.
(Hadis qudsi riwayat al-Madani)

Allah memberitahu kepada Nabi Daud a.s. dengan perantaraan Jibril a.s.mengenai dunia. Dunia penuh dengan shahwat, hawa nafsu dan kesedapan yang menjijikkan. Betapa hinanya mereka yang menyalahgunakan dunia atau menyimpang dari garis yang telah ditentukan.

Bagaikan anjing yang mengerumuni bangkai busuk dan berebut menariknya ke sana ke mari. Nabi Daud diingatkan Allah agar jangan berbuat seperti anjing atau menjadi anjing yang ikut bersama-sama anjing lainnya merebut bangkai busuk yang sangat jijik itu.


Daud yang dimaksudkan dalam hadis di atas ialah Nabi dan Rasul, bapa kepada Nabi Sulaiman a.s. yang bersambung keturunannya sehingga kepada Nabi Ibrahim al-Khalil a.s.baginda termasuk orang yang paling banyak beribadat dan bertaqarrub kepada Allah kerana Nabi s.a.w. sendiri pernah menyebut-nyebut nama Nabi Daud dalam sabda-sabda baginda:

Madsudnya, “Dialah manusia yang paling banyak beribadat.” Al-Hadis

Dunia yang digambarkan dgn gambaran yang menjijikkan itu berada dekat dengan diri kita di alam fana ini, selalu mengganggu kita dan mendorong untuk menguasai dengan cara yang tidak ada buah dan hasilnya di akhirat. Dunia seperti itu mendorong kita untuk bersenang-senang dengan pelbagai maksiat, termasuk juga berfoya-foya atau bermewah-mewah yang berlebih-lebihan.

Lawan dari dunia yang menjijikkan itu ialah kehidupan dunia yang memberikan hasil dan natijah di akhirat. Hasil ini diperolehi melalui jalan yang telah ditetapkan Allah, halal dimakan, halal digunakan dan halal pula cara diperolehinya. Inilah dunia baik yang tidak dimaksudkan dalam hadis qudsi di atas.

Mengenai dunia yang fana ini dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas setiap sesuatu.” – 
Surah Al-Kahfi: 45

No comments: