Sunday, November 2, 2014

BUMI INI ALLAH YANG PUNYA!



Dalam melihat situasi semasa, hampir bingung bagaimana manusia yang mengaku islam sanggup melakukan rompakan besar-besaran dan menggadai maruah agama setelah amanah diberi sepenuhnya? 

Bagaimana mereka ini masih boleh memegang amanah dengan bongkaknya biarpun segala korupsi berjaya dibongkar? Bagai tiada siapa yang boleh menyekat.

Tiddakah mereka percaya Allah Maha Melihat setiap perbuatan hambaNya?

Tidakkah mereka percaya kepada kewujudan syurga dan neraka?

Tidakkah mereka membaca Al Quran dan solat 5 waktu?

Diceritakan semasa peristiwa israk, Nabi Muhammad SAW melihat pelbagai adegan yang pelik.

Antaranya :

1. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah : Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

2. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka

3. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail : Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami. 

4. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

5.  Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail : Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain. 

6. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail : Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. 

7. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail : Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang. 

8. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail : Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat. 

9. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail : Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat. 

10. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail : Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua. 

11. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail : Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat. 


ALLAH ITU MAHA BERKUASA!

Ingat. Bumi ini Allah yang punya. Bukan kita punya. Jadi beradablah dengan tuannya. Peliharalah Cahaya Keimanan. Iman itu tidak boleh dijualbeli. Diperolehi tatkala takut kepada Allah.

Nikmat itu. Kuasa itu bila-bila sahaja Allah boleh ambil.

Benar. Setiap sesuatu pasti ada akhirnya. Seperti musim panas akan bertukar kepada musim sejuk. Siang akan bertukar menjadi malam. Kekejaman dan kezaliman tidak selamanya berkuasa. Suatu masa berakhir juga. Tiada keraguan. Ya, perancangan Allah Maha Hebat!

Hanyalah kepada Allah tempat kembali.

"Ya Allah, hidupkan kami seperti kehidupan para ulama, matikan kami seperti kematian para syuhada, dan kumpulkan kami dalam kumpulan para aulia', masukkan kami ke dalam syurga bersama para Nabi."

No comments: