Sunday, November 16, 2014

TIPS MENJADI PANDAI DAN SOLEHAH



Waktu kecil-kecil dahulu, Umie kita selalu berpesan "Along, jangan kawan dengan budak nakal. Umie tak suka". Entah faham atau tidak, kita pun berkawan dengan budak baik-baik. 

Bila balik sekolah nampak seluar sekolah terkoyak, Umie mesti marah "Ni kenapa seluar koyak? Kan Umie dah kata jangan main-main kat sekolah. Along kawan dengan siapa ni?" 

Entah faham atau tidak, kita pun tidak bermain kejar-kejar lagi. Bila sudah besar begini, kita boleh lihat siapa orang sekeliling kita. 

Jenis yang bagaimana? 

Yang soleh atau tak soleh. 

Lihat diri kita pula, bagaimana? 

Kenapa ya Umie kita selalu suruh kawan dengan budak baik? 

BERGAUL DENGAN ORANG SOLEH 

Antara sebab mengapa kita perlu bergaul dengan orang soleh, baik, cerdas dan pandai : 

1. Bergaul dengan orang cerdas menyebabkan anda turut menjadi cerdas. Sebagaimana bergaul dengan orang yang berani menyebabkan anda turut berani. Kalau anda bergaul dengan orang yang berjiwa besar, jiwa anda turut besar. Kalau bergaul dengan jutawan, hati anda turut merasa kaya lalu timbul keinginan untuk berusaha untuk menjadi sepertinya. Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman yang bermaksud : 

“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.” 
(Surah at-Taubah: 119) 

2.  Dek kerana itulah Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, 

“Kalau anda bergaul dengan penjual minyak wangi, badan anda akan harum kerana terkena wangi-wangiannya. Kalau anda bergaul dengan tukang besi, badan akan busuk kerana terkena wap besi yang busuk.”  

Demikian juga diformulakan oleh Imam Syafie, 

“Ada tiga perkara yang boleh mencerdaskan mental : selalu berdamping dengan ulama’, bergaul dengan orang-orang soleh dan meninggalkan perkataan yang sia-sia.” 

3. Abdullah bin Mas’ud mempetuakan, 

“Ada empat perkara yang menggelapkan hati :  perut yang selalu kenyang, bergaul dengan orang yang berbuat dosa, tidak insaf dengan dosa-dosa lalu, dan panjang angan-angan.” 

Kalau anda mengenali individu-individu yang pintar dan baik akhlaknya, jangan lepaskan kesempatan untuk berkawan dengannya. 

"Bergaul dengan orang soleh adalah KEUTAMAAN, mengikuti jejaknya adalah KEWAJIPAN " jadikannya sebagai pedoman hidup kita.  

p/s : Ada beberapa isu yang timbul di sebalik saranan berkawan dengan orang soleh 

1. Kalau tak kawan dengan orang nakal, siapa yang nak ubah mereka? 

2. Berkawan dengan berlainan jenis pada mulanya atas dasar ukhwafillah namun bertukar wajah menjadi episod kisah percintaan 

3. Seorang daie perlu berkawan tanpa mengenal nilai taqwa mad'u nya 

4. Men"delete" atau tidak meng"approve" kawan yang dikira tidak soleh kononnya tidak mahu bersubahat dalam hal-hal maksiat, contohnya terbaca status lagha, fitnah atau hasutan 

5. Apa kaitan antara berdakwah dengan berukhwah? 

Saya tidak mahu kupas di sini, jadi panjang lebar gamaknya. Bakal dikupas dengan izin Allah.


No comments: