Sunday, November 2, 2014

MENCARI TEMAN DI LIANG LAHAD

"Siapa antara kita yang berani jamin dia akan diberi peluang untuk bangun semula selepas tidur malam ini?"

Soalan yang pernah diajukan oleh seorang ustaz dalam ceramahnya baru-baru ini. Saya cuba refleksi diri terutamanya solat fardhu. Berat sungguh, malah tidak mungkin ada yang berani menjawab, "ya, saya jamin."

Kullu nafsin zhaiqatul maut (setiap yang bernyawa akan menghadapi mati) – ramai yang tahu ayat ini, dengan maksudnya sekali. Cuma tidak ada seorang pun antara kita yang tahu bila 'tarikh keramat' kita.

Melihat ibadah sendiri ala-ala kadar cukup membimbangkan. Ingin khusyuk dalam solat tetapi bermacam-macam hal difikirkan. Sedangkan solat yang khusyuk mampu mendekatkan kita kepada Allah lantaran urusan kehidupan seharian dapat dilakukan dengan mudah dan lancar kerana di situ ada berkah dan rahmatNya.



APA YANG TINGGAL UNTUK KITA?

Apabila seorang anak Adam meninggal maka terputuslah amalnya kecuali 3 hal :

  (1) Sedekah jariyah

  (2) Ilmu yang bermanfaat

  (3) Anak soleh yang mendoakannya

        –Hadis Riwayat Muslim

Saya baru berumur 23 tahun, jika ditakdirkan hari ini saya meninggal, peluang (3) sah-sah bukan milik saya. Peluang (1) ? Mudah-mudahan ada, insyaAllah. Hanya peluang (2) yang mampu saya manfaatkan sebaiknya hari ini, sekurang-kurangnya sempat saya sampai walau hanya satu ayat, walau hanya melalui internet.


MEDIA BARU

Media baru seperi Facebook, Twitter, Youtube, blog dan lain-lain lagi adalah antara cara yang cukup dan efektif untuk kita memanfaatkan peluang (2).

Kita boleh baca berita itu berita ini, cerita orang itu, gosip artis ini, serta bermacam lagi, apa salahnya sekali sekala baca artikel yang baik-baik, dan lepas baca berkongsilah.

Tidak takutkah kita lebih memanfaatkan media baru untuk maksiat? Saya tidak berniat mengeluarkan hukum, tapi saya takut ketika ini media baru menjadi haram untuk kita.

Tidak takutkan kita lebih gemar berkongsi sesuatu yang tidak elok lebih banyak dari yang elok?

Tidak takutkah kita lebih banyak 'Like' benda yang tidak elok berbanding yang baik?

Tidak takutkah kita meninggal ketika sedang asyik berFacebook? Kalau sedang asyik membaca atau melihat yang baik Alhamdulillah. Kalau sebaliknya? Nauzubillahhi minzalik.

Manfaatkanlah!

Malaysia mempunyai lebih 8.8juta rakyatnya yang berdaftar sebagai pengguna Facebook, maka manfaatkanlah. Inilah peluang (2) kita.

"Poyolah kau! Macamlah kau baik sangat."

Mahu jadi baik (soleh), biarlah poyo pun. Tak poyo pun, kalau tak baik buat apa, kan?

Cara hidup kita di dunia akan menentukan bagaimana cara hidup kita di alam barzakh dan akhirat nanti. Dan segalanya bermula dari bagaimana kita menentukan cara hidup kita di dunia selagi hayat masih ada.


dan apabila detak jantungku kian melemah,
darahku kian lesu mengalir,
ku dengar panggilan Rabbku untuk kembali,
bahkan dalam setiap desah nafasnya aku,
sentiasa sadar akan perhatian-Nya,
itulah Rabbku yang Maha Pemurah,
itulah Ilahku yang ku puja sembah,
bukan sekadar di tikar solat,
bahkan dalam setiap gerak dan langkah tersirat,
dan kini mampir ke liang lahat,
itulah aku sekujur tubuh dimamah ulat


Satu madah untuk koreksi diri bersama :

Solat lewat waktu dirasakan biasa.
Alquran hanya dibaca kadang-kadang sahaja .
Qiamullail hanya dilakukan bila ada hajat di dada.
Belajar hanya ala kadar dan ikut mood sahaja

Halaqah atau usrah hanya diguna pakai bila terasa kosong di jiwa dan bila sudah bosan dengan dunia.
Dakwah dikatakan tidak wajib bagi dirinya. jika orang lain sudah buat, maka dia telah terlepas daripada dosa.

No comments: