Sunday, November 2, 2014

H.I.P.O.K.R.I.T

Jangan sangka semua benda sempurna. Hipokrit inilah mengajar proses perubahan diri.

Sedih.

Hampa. 

Kecewa. 

Benci!

Bila saya rapat dengan orang-orang baik, orang-orang soleh, orang-orang beriman, saya rasa diri saya terlalu kerdil. Terlalu berdosa. Budi bahasa mereka. Akhlak mereka. Sopan santun mereka sungguh menambat jiwa dan perasaan. Kecantikan akhlak islamiyyah mereka sentiasa terpancar dari lubuk hati yang beriman kepada Allah. 

Berbeza dengan saya. Ibaratnya saya ini di hadapan mereka terlalu baik. Tetapi di belakang mereka, saya tidak semegah mana. Masih lagi lemas dalam krisis identiti. 

Terasa diri seperti bayang-bayang. 
Wujud atau pun tidak? Wujudkah diri ini di alam nyata? 

Kadang-kadang benci dengan diri sendiri tatkala tewas dengan ujian. Kaki ini bukan menapak ke hadapan, tetapi berpuluh-puluh kali berundur ke belakang di garisan kehidupan. Tidak tahu mana arah tuju yang sebetulnya. 


HIPOKRIT. 

Sangat hipokrit. Berpura-pura baik di hadapan orang. Berlagak alim di mata pena. Padahal? Budaya hipokrit begitu menebal di dalam diri. Disangkakan pelangi wujud selepas hujan rupanya ribut taufan yang melanda. 

Saya masih dalam proses perubahan.

Merubah, merubah dan merubah diri. Walaupun saya tahu amat sukar. Susah dan seringkali putus asa. Saya sama sekali tidak nafikan kelemahan diri membuatkan kegusaran emosi mengalahkan batasan iman. 

Tapi saya cukup pelik dengan satu hadis :

Rasulullah SAW bersabda : 

"Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis" 
(Hadis riwayat At-Tabrani)

Ulang suara. 'Buat-buatlah menangis'? Kenapa pula? Bukankah itu juga satu perbuatan hipokrit?


HIPOKRIT ISLAMIK.

Hati memang tidak mahu baca Al Quran. Memang tak faham pun. Buat apa baca kalau tak faham. 

Tapi kenapa Rasulullah SAW suruh juga baca, lepas tu buat-buat menangis?

Baginda nak ajar kita jadi hipokrit ke? 

Buat baik depan orang walaupun hati macam hantu?

Bukankah pada zahirnya, 'buat-buat' tu bererti berlakon? 

Adakah kita mahu menipu Allah? 

Sedarlah diri. 

Jangan menipu diri. Apatah lagi menipu Allah, berdosa. Allah Maha Tahu setiap hambaNya walaupun hanya terlintas di fikiran barang sesaat. Nak buat jahat, Allah sudah tahu. Nak buat baik, walaupun hanya niat sahaja, sudah diberi pahala ganjaran oleh Allah. 

Fahamilah. 

Saya dan anda sedang bermain provokasi sekarang. 

Dengan sepenuh kepercayaan jiwa dan raga bertunjangkan keimanan, yakinlah sesungguhnya Allah itu Paling Faham sifat hambaNya. Sememangnya Allahlah menciptakan kita semua. Sebelum Dia mencipta, Dia sudah tahu perangai hambaNya macam mana. Sudah habis khatam karenah dan gelagat kita semua.

Dia tahu, bahawa untuk manusia menjadi hamba yang baik, dia tidak akan dapat terus jadi baik. Dia harus melalui proses yang panjang. Sedikit demi sedikit, perubahan akan berlaku.

Allah tahu segalanya. Dia tahu batasan kita setakat mana. Kita tidak boleh berubah secara mendadak. Tetapi sedikit demi sedikit. Sebab itulah Allah berfirman "buat-buat menangis" sahaja. Bukan "wajib" atau "harus".

Jadi maksudnya, walaupun diri masih belum sempurna iman. Sabarlah. Tabahlah. Istiqamahlah untuk melatih diri menjadi hamba Allah yang soleh. Pepatah pun ada berkata "sedikit-sedikit lama-lama jadi gunung". Harus ada sabar dalam tarbiyyah (didikan) Allah. 

Untuk menggapai kesempurnaan iman, jangan takut menerima ujian.

Inilah seruan jiwa untuk dekat dengan Tuhan. Jiwa yang menginginkan kebaikan buat dirinya, juga buat sahabatnya dan insan yang disayanginya.

No comments: